Jumaat, 10 Julai 2015

Tips dan petua menangani kanak-kanak yang hiperaktif, kenali adakah anak anda mempunyai simptom ADHD

Anak adalah anugerah dan amanah Allah SWT kepada ibu bapa. Namun, tidak semua anak yang dilahirkan normal dan tidak memberi masalah kepada ibu bapa mereka. Ini semua adalah qadha dan qadar yang telah ditentukan, yang mana secara langsung dan tidak langsung menjadi suatu ujian kepada kedua ibu bapa. Kata orang, tidak ada penyakit yang tidak ada ubatnya kecuali tua dan mati, cuma ibu bapa perlulah mengetahui apakah masalah dan penyakit yang dihidapi oleh anak-anak mereka supaya mudah dicari ubatnya.

Di sebabkan keadaan persekitaran dan juga pemakanan sekarang ini, banyak kanak-kanak yang menjadi hiperaktif dan agresif. Perilaku hiperaktif ini bukannya perilaku normal kanak-kanak tetapi ia merupakan suatu penyakit yang perlu ditangani dan diubati. Perilaku hiperaktif ini dikenali sebagai Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) di mana kanak-kanak ini tersangat aktif dan lasak, ia boleh memahami dan berfikir tetapi sukar memberi tumpuan atau perhatian. Ini menyebabkan kanak-kanak hiperaktif ini sukar bergaul dalam masyarakat dan lemah dari segi akademiknya.

Perilaku hiperaktif dan agresif ini terjadi disebabkan oleh perubahan kimia (neurotransmitter) pada otak dan selalunya otaknya bersaiz lebih kecil (5-10%) daripada normal. Di antara punca penyebab anak hiperaktif ialah ibu yang merokok semasa hamil, faktor genetik, kelahiran pramatang (premature), mengalami kecederaan otak semasa dalam kandungan dan lain-lain

Di antara perilaku hiperaktif yang mudah dikenalpasti ialah kanak-kanak bersikap degil, lasak dan tidak tahu duduk diam, suka membantah, suka melanggar peraturan, leka dan sukar memberi tumpuan (terutama dalam pelajaran), sering tidak berpuas hati, mudah rasa tertekan, bermasalah dalam pelajaran dan hubungan sosial dengan kawan-kawan, sering berpeluh dan mengalami sakit perut atau cirit birit.

Hasil carian imej untuk adhd

Masalah perilaku hiperaktif di peringkat kanak-kanak ini jika tidak diubati atau ditangani dengan sewajarnya, mungkin penyakit ini akan berterusan hingga dewasa. Kanak-kanak hiperaktif ini selalunya melakukan sesuatu tanpa memikirkan orang lain di sekelilingnya, cuma ikut hatinya sahaja dan suka bermain bersendirian.

Perilaku hiperaktif ini boleh dirawati atau ditangani dengan pengurusan emosi yang berkesan, seperti tidak meninggalkannya bersendirian bergaul dengan kanak-kanak yang lebih muda kerana ditakuti dia akan menyakiti atau mencederakan mereka, jauhkan benda-benda yang tajam dan merbahaya supaya dia tidak mencederakan dirinya sendiri, perlu ditegur dan dididik serta didisplinkannya, jangan bercakap dan berlaku kasar di hadapannya kerana selalunya dia akan mengikut apa yang ibu bapa lakukan, perlukan perhatian dan tunjukkan kasih sayang yang lebih, dan jangan merendah-rendahkan dirinya di depan orang sehingga dia terasa tidak disayangi kerana ini kan memburukkan lagi keadaannya.

Petua menangani kanak-kanak hiperaktif 


1) Tetapkan peraturan yang jelas untuk kanak-kanak hiperaktif dan untuk seisi keluarga. Jika perlu, tulis peraturan dan pampangkan di tempat yang boleh dilihat oleh semua ahli keluarga. Jangan fleksibel kerana kanak-kanak hiperaktif benar-benar memerlukan peraturan yang jelas dan menerima akibat apabila peraturan tersebut dilanggar. Beri penerangan dari mata ke mata tentang peraturan dan minta mereka mengulangi kembali apa yang kita katakan untuk memastikan mereka faham. Ini tidak bermakna kita tidak boleh menawarkan pilihan untuk kanak-kanak hiperaktif, tetapi tingkah laku yang tidak sopan seperti memukul , meludah atau mengejek patut menerima akibat yang telah ditetap. Bermakna kanak-kanak hiperaktif tahu bahawa mereka akan menghadapi hukuman sekiranya melanggar peraturan.

2) Rutin yang tetap boleh membantu kanak-kanak, termasuk kanak-kanak hiperaktif. Kebanyakan kanak-kanak cenderung untuk menghadapi  kesukaran apabila tidak ada rutin yang tetap dan konsisten. Jika kanak-kanak tahu bahawa waktu tidur adalah pada pukul 8:00 malam, maka secara semula jadi, itu akan menjadi tabiatnya. Sediakan rutin bagi aktiviti-aktiviti yang lain untuk  kanak-kanak hiperaktif, dan pastikan aktiviti-aktiviti tersebut tidak lebih dari 30 minit kerana kanak-kanak hiperaktif sukar untuk fokus untuk jangkamasa yang lama.

3) Gunakan masa lapang untuk membawa anak-anak hiperaktif keluar bersiar-siar ke taman permainan, membaca buku bersama-sama, atau sekadar bermain dan bergurau dengan mereka. Detik-detik seperti ini boleh membantu terutamanya untuk menjalin hubungan yang mesra dengan anak-anak hiperaktif. Anak-anak hiperaktif juga boleh dibenarkan bebas melakukan aktiviti sendiri selagi tidak melanggar peraturan yang telah dibuat.

Hasil carian imej untuk adhd


4) Kanak-kanak hiperaktif sangat bertenaga, menyebabkan tumpuan mereka menjadi sukar. Salah satu cara untuk membantu menangani tenaga tambahan ini adalah dengan memberi mereka banyak peluang untuk melakukan aktiviti fizikal. Walaupun kita tidak sepatutnya membiarkan anak sampai ke tahap terlalu letih, senaman adalah cara yang bermanfaat untuk membantu memfokuskan tenaga berlebihan itu secara positif.

5) Oleh kerana tenaga kinetik kanak-kanak hiperaktif agak tinggi, hukuman apabila melanggar peraturan tidak harus dibuat dengan menyekat mereka bergerak kerana ni mungkin memburukkan lagi keadaan. Menggunakan pengukuhan dan kata-kata perangsang yang positif mungkin lebih berkesan untuk jangka masa panjang, walaupun ia mungkin mengambil sedikit masa untuk melihat kesannya.

6) Dr Phil McGraw (psychologist) berkata, disiplin yang terbaik adalah dengan memfokuskan pada tingkah laku kanak-kanak yang positif. Kanak-kanak akan bertindak balas terhadap pujian, dan lebih cenderung untuk mendapatkan perhatian dengan melakukan sesuatu yang baik, jika kita memberi penghargaan setiap kali mereka berkelakuan baik. Kanak-kanak hiperaktif sering mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka dengan cara yang negatif, sama ada ibu bapa menjerit, membentak atau memukul disebabkan ibu bapa melabelkan mereka sebagai “buas”

7) Kebanyakan pakar mengesyorkan supaya mengelakkan daripada memberi terlebih rangsangan kepada kanak-kanak hiperaktif . Elakkan mereka daripada banyak menonton TV, dan jangan benarkan mereka menonton TV pada waktu malam. Bunyi TV yang kuat dan kadang-kadang mengkhayalkan boleh merangsang kanak-kanak hiperaktif. Pilih satu atau dua rancangan yang sesuai untuk mereka tonton. Kanak-kanak hiperaktif lebih mudah belajar dengan melakukan aktiviti bukan dengan duduk menonton. Jadi, sediakan banyak aktiviti yang memerlukan pergerakan untuk mereka.


8) Adalah penting untuk menyedari bahawa kanak-kanak hiperaktif tidak selalu mempunyai kawalan seperti kanak-kanak lain. Jangan menyalahkan mereka atas apa yang tidak mampu mereka kawal. Sesetengah guru gemar mengatakan bahawa jika kanak-kanak boleh berkelakuan baik sekali, mereka akan boleh berbuat demikian di lain kali tetapi ini tidak tepat untuk kanak-kanak hiperaktif. Banyak faktor yang boleh mempengaruhi keupayaan kanak-kanak hiperaktif untuk mempamerkan kawalan diri. Kita perlu peka terhadap faktor-faktor luaran yang boleh membuatkan kawalan diri menjadi lebih sukar, seperti ketegangan antara ibu dan bapa, kematian haiwan kesayangan, tidak cukup tidur dan sebagainya. Kanak-kanak yang tidak sihat sering buat perangai dan ini tidak terkecuali pada kanak-kanak hiperaktif juga.

sumber:
ibubapacemerlang2012.blogspot.com


Hasil carian imej untuk adhd



About www.suplementsaya.com

Saya Nur Aini Amran. Saya komited membantu anda memperbaiki kesihatan diri dan keluarga

You Might Also Like

0 comments:

Catat Ulasan