Asma/lelah/semput
Setelah membuat beberapa rujukan, disini disertakan cara mengurangkan serangan lelah (acute asthmatic attacks), disamping itu, jom kita sama-sama meningkatkan tahap kesihatan anak-anak kita.
Jika anak anda telah disahkan menghidapi asma/lelah/semput anda perlu mendapat pemantauan berterusan daripada doktor. Bukan hanya dibawa berjumpa doktor apabila sedang ‘semput’. Ini kerana simptom-simptom asma perlu dipantau untuk memastikan ia dikawal dengan baik dan sekiranya tidak, rawatan seterusnya dapat diberikan. Walaupun lazimnya asma dalam kanak-kanak akan semakin ‘pulih’ dengan peningkatan usia, dikhuatiri asma yang tidak dikawal dengan baik boleh menyebabkan kerosakan pada paru paru serta meningkatkan risiko untuk mendapat serangan asma yang serius. Serangan asma yang serius boleh membahayakan nyawa.
Perkara yang perlu ada dirumah dan dimana sahaja jika anak anda mempunyai asma/lelah/semput;
- Ubat untuk melegakan batuk dan pernafasan laju, samada dalam bentuk ‘nebulizer’ atau sirap
- Inhaler (pencegah dan pelega)
Penggunaan ubat yang betul dengan cara yang betul
Rawatan bagi asma lazimnya terbahagi kepada ubat ‘pelega’ yang digunakan apabila perlu dan ubat ‘pencegah’ yang perlu digunakan setiap hari. Ada sesetengah kanak-kanak yang hanya memerlukan ubat ‘pelega’ tetapi ada juga yang memerlukan ubat ‘pencegah’. Ini bergantung kepada evaluasi klinikal yang dibuat oleh doktor yang merawat. Apa yang penting adalah untuk memastikan ubat diberikan seperti yang disyorkan dan juga dengan cara yang betul. Sebagai contoh, kanak-kanak berusia 8 tahun ke bawah selalunya memerlukan ‘corong’ untuk menggunakan ubat asma yang berbentuk ‘metered dose inhaler’ atau MDI bagi memastikan mereka menerima ubat secara optimum.
‘Corong’ tersebut perlu dijaga dengan baik serta mengikut tatacara yang dinasihatkan untuk memastikan ia berfungsi dengan baik. Tanpa teknik penggunaan ubat yang betul, rawatan asma tidak akan berjaya walaupun diberikan pada kekerapan yang yang dinasihatkan. Ibu bapa juga dinasihatkan tidak memberhentikan sendiri ubat apabila anak kelihatan ‘sihat’ sehingga dinasihatkan oleh doktor. Berbincanglah secara terbuka dengan doktor yang merawat sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan tentang rawatan yang diberikan.
Penjagaan keaadan sekeliling
Sesetengah penghidap asma/lelah/semput sangat sensitif dengan keadaan sekeliling mereka. Antara perkara- perkara yang boleh menyebabkan serangan asma termasuk asap rokok, habuk, cat serta bulu-bulu binatang peliharaan seperti anjing, kucing dan lain-lain. Mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan atau mengurangkan pendedahan mereka kepada faktor faktor tersebut adalah penting untuk mengelakkan serangan asma.
Semoga Info ini bermanfaat untuk anda
Salam
Anne
sumber: Dr Alya Hamzah
0 comments:
Catat Ulasan