Info tentang kutu
Bagi yang mempunyai anak-anak tinggal di taska atau pun sudah ke prasekolah, pasti pernah berhadapan dengan masalah rambut dijangkiti kutu. Kutu merupakan serangga halus yang mengerumuni rambut dan menyebabkan kepala kanak-kanak gatal.
Kutu kepala adalah sejenis parasit penghisap darah yang biasanya hidup dibahagian kepala. Kutu betina mampu bertelur enam biji sehari. Telur ini selalunya melekat dengan kuat pada rambut. Telur-telur ini akan menetas selepas lebih kurang 8 hari.
Telur putih halus (telur kutu) serangga ini tergantung pada akar rambut. Kutu merebak dengan sangat mudah dari satu kepala ke kepala yang lain. Ia menyebabkan si kecil berasa gatal kepala dan asyik menggaru rambutnya.
Tanda-tanda anak dijangkiti kutu
- Gatal yang kuat pada permukaan kepala. Ini disebabkan oleh bahan yang ada di dalam air liur kutu kepala.
- Tanda-tanda merah pada permukaan kepala, leher dan belakang telinga. Dalam kes yang teruk, tanda-tanda bengkak berlaku di belakang telinga.
- Terdapatnya telur-telur kutu yang kecil. Ia selalunya bersinar dan berwarna putih. Ia kelihatan seperti kelemumur tetapi ia tidak mudah dikeluarkan.
Kutu mudah berjangkit secara langsung dari kepala melalui :
- Sikat rambut.
- Perhiasan rambut.
- Tuala.
- Topi.
- Tudung kepala.
Apabila seorang anak anda dijangkiti kutu, rawat seluruh keluarga anda dan mereka yang berhampiran dengan anak anda.
Antara langkah penjagaan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:
- Tanya ahli farmasi tentang ubat yang boleh membunuh kutu dan telur kutu. Sapukan ubat ini di seluruh kepala anak anda dan biarkan ia atas kepala selama masa yang diarahkan, biasanya beberapa jam.
- Cuci dan bilas rambutnya. Sikat dengan sempurna menggunakan sebatang sikat haus untuk mengeluarkan kutu dan telur kutu yang mati. Anda mungkin perlu mengulang rawatan ini dua atau tiga kali, setiap tiga hari, untuk menghapuskan telur kutu.
- Bersihkan berus dan sikat anak anda serta topinya. Satu cara lain, simpan topinya di dalam beg plastik bertutup rapat dan biarkan selama sekurang-kurangnya sepuluh hari. Kutu dan telur tersebut akan mati.
- Elakkan anak anda menyertai kumpulan kanak-kanak atau pergi ke taman permainan bermain bersama kawan-kawan kerana bimbang akan menjangkiti kanak-kanak lain. Biar dia tinggal di rumah sehingga kutu dan telurnya telah dimusnahkan sepenuhnya.
0 comments:
Catat Ulasan